All News

Libatsama Komuniti Menerusi Projek e-Mentorship

Oleh : Dr Aliff Nawi

Gambar : Unit Media SMK Penarek, Terengganu

Tarikh aktiviti : 1 Oktober 2020

Media sosial dan teknologi telah mengubah norma manusia berkomunikasi dan berinteraksi. Dengan hanya mengakses internet, pelbagai aktiviti dapat dilakukan dalam persekitaran maya. Oleh itu, usaha untuk libatsama dengan komuniti SMK Penarek, Terengganu menerusi projek e-Mentorship bertujuan untuk memberi pendedahan dan bimbingan secara atas talian kepada para remaja. 

Dr Aliff Nawi dari Pusat Pengajian Pendidikan & Bahasa Moden (SEML) yang merupakan ketua Projek e-Mentorship ini menyatakan bahawa bimbingan dan nasihat telah pun diberikan oleh para guru di sekolah kepada para pelajar. Namun, Projek Komuniti e-Mentorship ini mengkhususkan untuk memberikan bimbingan & nasihat secara atas talian menerusi media sosial khususnya kepada pelajar yang berisiko. Usaha ini diharapkan dapat membantu meringankan tugas para guru dan ibubapa dalam membimbing tingkahlaku remaja dalam persekitaran digital.

Sebagaimana yang diketahui, media sosial merupakan platform utama para remaja bersosial antara satu sama lain. Mereka bukan hanya gunakan untuk berinteraksi, namun ianya juga merupakan tempat untuk meluahkan perasaan, mencari perhatian, mencari kenalan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, penggunaan media sosial tanpa kawalan dapat memberi kesan negatif kepada remaja. Daripada siber buli, penggunaan kata-kata agresif, kata lucah, pelbagai pengaruh buruk lain yang dikhuatiri memberi impak yang besar dalam diri remaja. Oleh itu, bimbangan dan nasihat yang berterusan amat diperlukan oleh pelajar dalam menghadapi masa depan mereka yang tidak menentu ini. 

Projek Komuniti e-Mentorship ini juga merupakan sebahagian dari kerjasama geran penyelidikan FRGS-RACER 2019 Kod SO 14424 yang diketuai oleh Dr Zalmizy Hussin bagi melihat dan mengenalpasti psikografik personaliti remaja dari data digital. Projek ini turut dianggotai oleh lima orang coach secara atas talian iaitu  Dr Mat Rahimi Yusof (Ketua Coach-SEML), Dr Mohd Faiz Mohd Yaakob (SEML), Dr Hapini Awang (SOC), Dr Mohd Fairuz Jafar (SEML) dan Dr Mohd Azrin Mohd Nasir (SAPSP).